Mendengar cerita orang-orang Selangor yang mendakwa mereka telah menjulang Piala Malaysia sebanyak lebih 30 kali membuatkan fikiran saya melayang jauh merungkai kisah-kisah lama. Kisah yang diceritakan turun-temurun daripada orang orang terdahulu kepada orang-orang selepasnya sehinggalah sampai ke pengetahuan saya selaku orang yang paling terkemudian. Dan kisah ini tidaklah banyak diketahui oleh orang masa sekarang khususnya orang muda. Barangkali orang yang ahli soal sejarah juga tidak ada memiliki pengetahuan akan kisah ini kerana sehingga kini tiada sebarang catatan atau kajian yang dijalankan dengan bersungguh-sungguh. Pada hemat saya kalau kisah begitu penting ini tidak diberi perhatian atau diambil tindakan sewajarnya maka lama-kelamaan akan hilang dan lenyapnya ia ditelan zaman. Selepas itu tidak ada apa lagi yang tinggal kepada orang-orang yang lebih terkemudian daripada saya melainkan cerita perang yang banyaknya sia-sia sahaja.
Orang-orang Pahang sejak zaman dulunya telah tinggal di dalam negeri yang besar dan luas pula jajahannya meliputi hampir 1/3 tanah semenanjung. Di dalam negeri Pahang itu rakyatnya tidaklah begitu ramai namun setiap inci keluasan tanah negeri itu digunakan sepenuhnya oleh orang-orang Pahang. Mengikut apa yang dikhabarkan, sekurang-kurangnya setiap satu keluarga tidak boleh tidak mesti memiliki 3 ekar tanah. Ketetapan undang-undang negeri pada ketika itu menggariskan bahawa 3 ekar tanah orang-orang Pahang masing-masing itu haruslah dibahagikan kepada setengah ekar untuk membina rumah tempat berteduh, setengah ekar untuk membela haiwan dan ternakan, satu ekar untuk tujuan bertani dan berkebun dan satu ekar selebihnya wajib atau mestilah dijadikan padang bola. Undang-undang negeri itu dikatakan berjalan bermula pertengahan kurun ke-8 hingga lewat kurun ke-11 di bawah pemerintahan lima Sultan. Dari situ tahulah kita bahawa orang-orang Pahang bukan saja telah lama dulu bermain bola justeru juga memiliki padang bola persendirian.
Permainan bola sepak orang-orang Pahang pada ketika itu jika ditafsir semula melalui cerita yang disampaikan kepada saya boleh dikatakan hampir tidak ada perbezaan dengan permainan bola sepak moden pada masa kini. Tiang golnya dipasang dua di setiap hujung padang seluas satu ekar, dimainkan oleh 22 orang pada satu satu masa dengan 11 orang berlawan dengan 11 orang, dimainkan dalam tempoh waktu 1 jam 30 minit dan telah diwujudkan juga peraturan sepakan percuma yang rata-rata yang pandai mengambilnya adalah orang-orang Pahang dari kawasan Orang Kaya Maharaja Perba Jelai. Semua peraturan dan undang-undang itu digubal dan ditetapkan oleh satu majlis yang dipimpin oleh sultan dan dianggotai oleh kadi besar negeri, orang besar berempat (Orang Kaya Maharaja Perba Jelai, Orang Kaya Indera Pahlawan, Orang Kaya Indera Segara dan Orang Kaya Indera Syahbandar), 3 orang pawang, 2 orang tukang besi, 4 orang jurulatih bola yang dipilih mewakili 4 bahagian negeri, 4 pemain bola yang sudah ada gelaran, 2 fisioterapi, 1 kaum perempuan dan 2 orang pemerhati dari negeri lain yang biasanya diwakili oleh seorang ahli perniagaan dari Scandinavia yang menjalankan perdagangan naga dan seorang lagi ahli perniagaan dari Argentina yang tidak pula dinyatakan tujuannya bermaustatin di negeri Pahang.
(bersambung)