Kok kok kok!
Ismael bingkas bangun sebaik mendengar bunyi ayam jirannya. Keadaan di dalam biliknya yang masih gelap tanpa cahaya matahari melegakan hati Ismael. Dia bersila di atas 'toto' tempat baringnya. Sambil merenung dinding sesekali Ismael menguap seperti singa. Potret Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Steve Tyler di dinding bilik seolah-olah mengejek Ismael yang baru saja tingkatan 4 Sekolah Seri Lipis sebelah maktab jalan hala ke Padang Tengku, dah mengada nak muhasabah diri.
Tiba-tiba lamunan Ismael terhenti. Dari luar rumah, sayup-sayup terdengar suara jirannya bertempik kerana ayam dimakan ular sawa. Lantas Ismael bangun mencapai tuala dan melangkah ke dapur.
Di dapur, Ismael menuang air panas dalam cerek muncung panjang atas dapur ke dalam baldi. Ismael tuang sampai separuh baldi. Ditinggalkan suku cerek untuk emaknya bancuh teh o. Kemudian separuh baldi air panas itu dibawanya ke bilik air belakang rumah. Di bilik air, air panas itu dicampurkan dengan air paip. Maka air di dalam baldi itu jadilah suam suam sedap mandi. Ismael senyum nipis. Selera mandinya memuncak.
Brurrr brurrr brrurrr!!
Ismael menjirus badannya segayung demi segayung. Agak havoc bunyi air memercik ke dinding zink bilik air.
Makcik Rosmoh geleng kepala.
"Mandi macam kerbo..."
***
Selesai mandi, Ismael keluar bilik air dengan kepala basah tak berlap habis. Badan belah belakang pun basah juga lagi. Air sampai bertitis ke lantai. Kemudian dia terkernyih-kernyih melintasi Makcik Rosmoh yang sedang membancuh tepung cekodok pisang seolah-olah dah bersedia nak kena 'sound'. Disebabkan Makcik Rosmoh macam tak ada 'mood' sangat, Makcik Rosmoh 'daring' lebih kurang saja. Tangan tuanya yang pernah menjadi tangan makwe pada satu masa dahulu, ligat menyebatikan pisang dan tepung.
Ismael terus melangkah ke biliknya untuk bersiap-siap ke sekolah
***
"Jangan la asyik berbahas je kat sekolah tu, Ismael." Nasihat Makcik Rosmoh.
Ismael hanya senyum nipis sambil berhati-hati tuang air teh o panas dalam piring. Cekodok pisang panas dipegangnya berlapikkan kertas surat khabar. Kurang sikit panasnya di jari.
"Marah dek orang je nanti, Ismael." Sambung Makcik Rosmoh lagi.
Ismael senyum nipis lagi sekali. Piring berisi teh o ditariknya sampai ke cupil meja. Kemudian air teh o itu dihirupnya perlahan-lahan macam kucing.
Makcik Rosmoh diam memerhatikan Ismael. Tiba-tiba Ismael turut diam selepas hirupan terakhir. Wajahnya kelat.
Ismael yang lengkap beruniform sekolah baju masuk dalam, bangun dari kerusi lantas berjalan masuk ke bilik. Tak lama kemudian dia keluar semula dari bilik dengan hanya bertuala.
"Hah baru makan sikit, berak..." 'sound' Makcik Rosmoh, "cepat sikit, dah dekat pukul 7 ni."
Ismael senyum nipis sambil pecut ke jamban.
Braaa!!
Bunyi pintu jamban memecah keheningan pagi. Makcik Rosmoh geleng kepala 3 kali.
***
Ismael sarung kasut Kefri saiz 7 setengahnya yang baru sekali kena pijak. Hari ini hari khamis. Dah 4 hari sekolah, baru sekali kena pijak, boleh dikira perkara yang baik.
Makcik Rosmoh sudah di tanah - kelihatan mula memasang paip air untuk menyiram pokok bunga. Tak lama, bunyi air memercik ke tin susu tepung saiz besar yang dijadikan pasu bunga, berlawan dengan kicauan burung pagi dan bunyi Ismael bersiul.
"Ingat pesan mak tu, Ismael. Jangan asyik berbahas saja di sekolah tu."
"Ya, mak." Balas Ismael bersopan santun tak macam dalam TV. Ismael menggalas beg sekolahnya dan melangkah perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah.
Di hadapan rumah jiran Ismael, kelihatan tiga orang ahli bomba sedang berdiri sambil memandang ular sawa yang sedang berehat di bawah pokok jambu air. Tiba-tiba salah seorang ahli bomba melutut mendekati ular sawa itu.
"Ayam dalam perut ular ni kalau kita bawa keluar, boleh makan lagi tak?" tanya salah seorang ahli bomba sambil menepuk-nepuk perut ular sawa yang kekenyangan itu.
Ahli bomba yang lain enggan menjawab dan bersikap dingin. Jiran Ismael di muka pintu merenung ahli bomba yang menepuk-nepuk perut ular sawa kekenyangan itu. Ahli bomba yang suka bergurau itu terkernyih-kernyih memandang ahli bomba lain. Apabila ahli bomba lain tidak menunjukkan reaksi yang positif, ahli bomba itu memetik buah jambu air. Kemudian dia bermain 'game' ular di dalam telefon bimbitnya sambil mengunyah jambu air.
"Selamat pagi, pakcik. Muram nampak hari ni?" tegur Ismael kepada jirannya yang masih lagi merenung ahli bomba yang memakan jambu air itu.
Jiran Ismael mengalihkan pandangannya ke arah susuk tubuh Ismael seraya tersenyum nipis. Setelah berbalas senyuman, Ismael segera meneruskan langkahnya. Waktu tidak mengizinkan untuk dia berbual panjang dengan jirannya.
Lebih kurang 10 minit, Ismael hampir tiba di perhentian bas tepi jalan besar. Dari jauh kelihatan beberapa pakcik dan makcik sedang menunggu bas sambil berborak. Belum pun sempat Ismael hendak duduk, Ketua Kampung menegur mesra.
"Lambat nampak aok hari ni, Ismael."
"Biasa la, Tok Ketua. Berak," jawab Ismael sambil meletak begnya atas bangku panjang perhentian bas.
"Hoih bagus la tu. Berak pagi ni orang kata sihat. Maknanya sistem berak aok tu molek. Berfungsi baik," balas ketua kampung macam doktor.
Ismael tersengih panjang. Ketua Kampung pun tersengih sama. Giginya kuning.
"Tok Ketua pakai smart smart ni nak pergi mana?" tanya Ismael sambil memandang Ketua Kampungnya atas bawah. Imej berseluar slek kocek jeans yang dipadankan dengan kemeja papan lengan panjang kocek dua di dada Ketua Kampung sedikit menghairankan Ismael. Biasanya Ketua Kampungnya itu lebih senang mengenakan baju-T Barisan. Ada dekat dua kotak baju barisan warna biru kolar warna putih itu tak berusik di rumahnya. Bukannya tak diagih ke orang kampung. Tapi orang kampung menolak kerana fesyen dan warnanya tak berapa 'in'. Bila dibasuh lekas pula berbulu-bulu. Kalau disarung ke badan, jadi miang.
"Tok ada hal sikit di Pejabat UMNO," jawab Ketua Kampung serius dan nampak sedikit bersemangat.
Ismael angguk kepala tiga kali.
"Tak lama lagi wakil rakyat nak datang kampung kita ni. Ini satu peluang yang baik," sambung ketua kampung.
Ismael angguk kepala lagi tiga kali.
Tiba-tiba bunyi lori balak mencelah. Ismael dan Ketua Kampung diam dengan mata tak lepas memandang lori balak sampai hilang di selekoh tepi kubur. Balak di belakang lori itu semuanya kurus-kurus. Tak ada gaya balak. Lebih ke gaya tiang letrik.
"Meknye lambat sangat bas ni! Berjanggut dah keh ni..." sungut satu makcik seorang diri di hujung bangku.
"Aih tak larinya pasar tu, Melah..." balas Ketua Kampung sambil mengangkat kening dua tiga kali ke arah Ismael.
Ismael sengih panjang tak bersuara. Tak berapa sopan pula kalau dia menambah cakap Ketua Kampung.
Makcik di hujung itu tarik muka menyampah. Ketua Kampung terseringai tak berbunyi.
"Kenapa Tok Ketua naik bas pergi Pejabat UMNO? Apa pasal Tok tak telefon orang Pejabat UMNO tu suruh ambil di rumah?" tanya Ismael.
Ketua Kampung memandang Ismael sambil telan air liur. Kebetulan Ismael dalam masa yang sama telan air liur juga.
"Aok ni nampaknya macam cuba nak ajak Tok berbahas gayanya, Ismael," jawab Ketua Kampung tenang.
Ismael senyum nipis sambil tangannya menyeluk kocek seluar.
"Ada pertandingan bahas ke dalam sehari dua ni, Ismael?" sambung Ketua Kampung sambil mengelap peluh di dahi dengan lengan baju.
"Hari lusa ni saya ada fight bahas dengan sekolah Padang Tengku, Tok Ketua." Jawab Ismael sambil lewa.
"Tok tak kisah kalau aok nak jadikan Tok rakan sparring. Tapi..."
Sreeettt!!!
Belum sempat Ketua Kampung menghabiskan kata, sebuah motosikal besar berkuasa tinggi brek mengejut sehingga berpusing di hadapan perhentian bas. Ismael, Ketua Kampung, Makcik Melah dan kawannya yang pakai baju kurung bintik-bintik tudung warna merah jambu menjadi terkejut yang sangatlah terkejut sekali dalam banyak-banyak terkejut yang pernah mereka alami.
"Arnold Stevenseneger, Tok!" jerit Ismael.
Bang! Bang!
Makcik Melah dan kawannya yang pakai baju kurung bintik-bintik tudung warna merah jambu kena tembak tepat di leher. Boleh jadi urat merih. Darah merah pekat memancut seperti paip pecah. Makcik Melah dan kawannya yang pakai baju kurung bintik-bintik tudung warna merah jambu terkulai di atas tanah dalam keadaan memeluk erat bakul pergi pasar masing-masing.
Ismael dan Ketua Kampung melopong melihatkan keadaan itu.
"Balik kuang, Ismael!" jerit Ketua Kampung mantap.
Ismael dan Ketua Kampung terus melakukan balik kuang dan masuk ke dalam paya di belakang perhentian bas. Sungguh pantas pergerakkan Ismael dan Ketua Kampung.
Bang! Bang!
Dua das tembakan dilepaskan lagi oleh Arnold Stevenseneger ke arah Ismael dan Ketua Kampung. Malangnya tembakannya hanya mengena skru bangku. Bangku perhentian bas roboh dan berasap.
Arnold Stevenseneger menjadi naik angin lalu menongkat motornya di tengah jalan. Dia berjalan ke arah tebing paya dan melepaskan 25 das tembakan ke setiap inci permukaan paya. Paya menjadi kucar-kacir dan kelihatan beberapa ekor ikan kelisa mati terkena tembakan. Dari renungan spek mata hitam Arnold Stevenseneger, dia nyata masih tidak berpuas hati.
Gedeganggg!!
Tidak semena-mena, satu dentuman berlaku di tengah-tengah jalanraya. Arnold Stevenseneger terkejut apabila lori balak yang laju dan bersikap biadab kerana memasang lagu Hindustan volume kuat melanggar motosikal besarnya. Habis motosikalnya patah dua. Lori balak itu langsung tidak berhenti dan makin kelihatan memecut dan terus hilang di selekoh tajam tepi kubur. Dalam keadaan marah, Arnold Stevenseneger menembak lori balak itu. Namun begitu Arnold Stevenseneger hanya sempat melepaskan sedas tembakan yang mengena nombor platnya sahaja kerana peluru senapangnya habis. Arnold Stevenseneger geram. Jauh di sudut hatinya dia menyesal kerana tidak membawa bekalan peluru yang banyak.
Sementara itu Ismael dan Ketua Kampung makin jauh menyelam ke dalam paya. Keadaan yang gelap di dalam paya menyebabkan Ismael memegang kaki seluar Ketua Kampung kerana takut tersesat.
"Kita nak ke mana ni Tok Ketua?" jerit Ismael di dalam paya.
Ketua Kampung langsung tidak menyedari pertanyaan Ismael. Dia masih tercari-cari jalan selamat untuk keluar dari paya. Ismael pula kelihatan buruk wajahnya kerana pertanyaannya tadi telah menyebabkan 2 kilo air paya masuk ke dalam mulutnya. Fikirannya mula membayangkan penyakit taun yang merbahaya.
***
Di dalam sebuah teksi kuning hitam menuju ke bandar Lipis, Arnold Stevenseneger masih kelihatan geram.
"Where do u want to go, sir?" tanya Pakcik Harun drebar teksi dalam bahasa inggeris penuh steady kerana memandu dengan siku terkeluar. Dia memandang Arnold Stevenseneger melalui cermin pandang belakang.
Arnold Stevenseneger tidak menjawab dan hanya merenung mata Pakcik Harun di cermin pandang belakang. Pertentangan mata dengan Arnold Stevenseneger itu menyebabkan Pakcik Harun telan air liur dan terkernyih-kernyih. Wajahnya juga menjadi pucat. Sikunya dimasukkan perlahan-lahan dan memegang kemas stereng teksi. Debaran di dadanya kian laju.
***
Lagu Norshila Amin berkumandang di radio teksi Pakcik Harun. Kalau sebelum ini, semasa bahagian korus Pakcik Harun akan tarik 'rambu ba rambu ramba' satu kali sampai tak mengira ke azan. Itu belum lagi lagu Kad Ucapanmu. Norshila Amin juga. Tapi kali ini perkara tarik itu tidak berlaku kerana Arnold Stevenseneger yang bekeng berada di belakangnya.
Apabila teksi melintasi kedai hardware Chong Nam Lee yang letaknya satu baris dengan kedai kentaki, Arnold Stevenseneger memegang bahu Pakcik Harun dengan penuh bertenaga. Pakcik Harun menggigil seperti terkena kancing gigi dan teringat arwah emaknya.
"Parar. Hermano taxi se detiene aqui!" arah Stevenseneger kepada Pakcik Harun dengan suara yang parau.
Pakcik Harun menjadi entah apa-apa dan menekan pedal minyak sampai ke lantai. Melihatkan tindakan Pakcik Harun itu, Arnold Stevenseneger geleng kepala 3 kali. Dia lagi sekali menjadi naik angin kerana katanya tidak dituruti Pakcik Harun.
"Kaweh kabor berenti, berenti laa!" tengking Arnold Stevenseneger di tepi telinga Pakcik Harun.
"Laa boleh pun cakap bahasa melayu aok ni, Arnold!" marah Pakcik Harun balik.
"Ye laa mende kaweh ni orang Raub!" Arnold Stevenseneger lagi sekali menjerit di dalam teksi.
"Haa dah tu yang pergi cakap entah mende ke butir tu tadi pasalnya?" Pakcik Harun melawan. Kali ini dia nampak lebih yakin kerana setakat budak Raub takkan tak boleh makan. Sebelum ini pernah sekali dia 'sound' budak Raub tak puasa makan dalam semak.
Arnold Stevenseneger menjadi makin naik angin dan berkerut seribu. Ditangkapnya kepala Pakcik Harun dan dihantuknya ke batang gear.
Pow!!!
Kepala Pakcik Harun pesuk. Darah merah pekat yang hangat memancut ke bumbung kereta. Di dalam keadaan kereta yang terhuyung-hayang tidak dikemudi sesiapa itu, Arnold Stevenseneger masih belum puas. Dia menarik brek tangan sehingga brek tangan itu berdiri tegak seperti batang gear. Serta-merta teksi Pakcik Harun terkunci tayar belakangnya lantas menyasar dan hampir mengenai pembahagi jalan. Arnold Stevenseneger lega. Kemudian dia menyambung job-nya iaitu menghantukkan kepala Pakcik Harun ke batang brek tangan pula.
Pow!!!
Lagi sekali pesuk kepala Pakcik Harun.
Arnold Stevenseneger keluar dari teksi meninggalkan Pakcik Harun yang kepalanya tersangkut ditembusi batang brek tangan seperti sate. Bau hangit tayar teksi dan bau darah yang hanyir menyelubungi kawasan itu. Arnold Stevenseneger melangkah perlahan-lahan ke arah kedai hardware Chong Nam Lee. Kereta-kereta yang menghujankan hon kepadanya langsung tidak dihiraukan. Sementara itu, orang ramai yang berada di situ menjadi havoc dan melaungkan takbir beberapa kali. Selain beberapa orang yang muntah hijau, ada juga di antara mereka yang bertindak membaling batu ke arah Arnold Stevenseneger. Namun apabila Arnold Stevenseneger memusingkan kepala memandang mereka, mereka pakat-pakat menyeluk kocek seluar. Arnold Stevenseneger senyum nipis.
***
Braaa!!!!
Air paya yang tenang menjadi tidak keruan. Ketua Kampung dan Ismael tercungap-cungap di permukaan paya. Ismael mengambil nafas sepuas-puasnya. Ketua Kampung senyum nipis melihat Ismael lalu berenang ke tepian sambil mengamati persekitaran. Ismael yang kini menjadi makmum terjun kepada Ketua Kampung mengekori Ketua Kampung dari belakang.
"Hairan juga, Tok Ketua. Dalam keadaan cemas boleh pula saya menyelam lebih setengah jam. Biasanya sebelum ni setengah minit pun saya dah tak boleh pergi..." kata Ismael dengan nafas yang masih kurang stabil.
Ketua Kampung diam. Dia masih mengamati keadaan persekitaran mereka yang nampaknya begitu asing. Kalau mengikut pengalaman Ketua Kampung, paling besar pun paya tu boleh pergi cuma setakat pencawang LLN tepi markas PAS. Itu pun masa musim hujan. Musim kemarau ini tak mungkin perkara itu berlaku. Ketua Kampung menjadi hairan dan sedikit buntu.
"Macam mana sekarang ni, Ismael? Aok rasa kat mana kita ni?" tanya Ketua Kampung kepada Ismael.
Ismael terkejut kecil.
"Kenapa, Tok Ketua? Kita dah sesat sampai ke Selangor ke? Ini bukan ke belakang rumah Haji Dolloh?" tanya Ismael pula. Baju sekolahnya dibuka dan diperah sekuat hati.
"Rasanya bukan dah ni, Ismael. Jauh dah kita ni, Ismael..."
Ismael melopong. Real punya melopong. Tak buat-buat macam cerita dalam TV.
***
"Macam mana keadaan ayah saya, doktor?" tanya Hasnol cemas.
Doktor Mansur diam sambil tenang menyalakan rokok. Sesudah bagus nyalaan rokoknya, Doktor Mansur menyimpan stetoskop yang tergantung di batang lehernya ke dalam kocek belakang seluar denimnya. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulut dan hidung Doktor Mansur. Dua tiga orang jururawat yang tiba-tiba muncul dan lalu di sebelah Doktor Mansur menjeling Doktor Mansur sambil menutup hidung dan mulut dengan belakang tangan. Doktor Mansur berasa tersinggung lalu menyepak pintu wad Pakcik Harun tiga kali.
"Macam mana, doktor?" tanya Hasnol lagi sekali.
"Tipis peluangnya. Tengkoraknya berlubang-lubang. Agak sukar hendak membelanya balik. Tapi macam mana pun otaknya selamat..." jawab Doktor Mansur kemas.
"Jadi cadangan saya eloklah ayah awak dihantar ke pihak RELA." sambung Doktor Mansur sambil memetik abu rokok seperti sedang berdiri di stesen bas Jengka.
"RELA?" Hasnol menjadi hairan.
"Ya. RELA..." jawab Doktor Mansur serius.
***
"Kat mana sebenarnya kita ni, Tok Ketua?" tanya Ismael sambil mengunyah lepat ubi.
Ketua Kampung diam seribu bahasa. Pertanyaan Ismael dibiarkan saja. Sebilah pisau jenis 'Rambo' dikeluarkan dari sebalik kasut kulit potongan tingginya. Seperti seorang yang berpengalaman luas, Ketua Kampung meneliti kompas di hulu pisaunya. Keningnya berkerut-kerut. Berguna juga pisau yang dibelinya ketika singgah di Uptown masa rombongan perhimpunan agung UMNO di PWTC bulan lepas.
"Kedudukan kiblat tak banyak berubah. Tok yakin kita masih di dalam kampung kita..." Ketua Kampung menjawab pertanyaan Ismael, "lepat ubi tu aok dapat mana?"
"Jumpa dalam kocek seluar. Ada lagi satu kalau Tok Ketua nak. Rasa paya la sikit tapinya."
Ketua Kampung menggelengkan kepala dan terus melangkah pantas meredah semak-samun yang seperti tiada penghujung. Ismael menurut sahaja dari belakang. Sementara itu cuaca semakin panas terik tanpa sebarang awan di langit biru.
***
Di kedai hardware Chong Nam Lee, Arnold Stevenseneger melilau mencari sesuatu tergesa-gesa. Perlakuan itu membuatkan dia sering terlanggar cangkul, pongkes, pisau toreh dan kepala paip yang bergantungan. Apabila sebakul engsel saiz kecil jatuh berterabur di atas lantai yang tak banyak 'space', Jefri Muhayat selaku pembantu kedai yang mula bekerja di situ sejak habis SRP mula berasa 'bengkerk'. Dia perhati Arnold atas bawah.
"Cari apa, bos?"
Arnold Stevenseneger yang membelakangi Jefri Muhayat berhenti melangkah. Kepalanya dipusingkan sedikit supaya dapat menjeling Jefri Muhayat. Di tepi kaunter, Jefri Muhayat kelihatan tenang dengan gaya berdiri senget.
Zuuppppp!!!
Kini bom tangan di tepi buku lali Jefri Muhayat. Jefri Muhayat pucat lesi sehingga berpeluh di bawah mata. Sekarang barulah dia sedar bahawa berani tidak bermakna selamat.
Powwww!!!!
Itulah kali pertama dan terakhir Jefri Muhayat berhadapan dengan bom tangan. Kedai Chong Nam Lee meletup kuat hingga menyebabkan alarm kereta Doktor Mansur di Hospital yang letaknya kira-kira 800 meter berbunyi. Di celahan letupan dahsyat itu, keluar Arnold Stevenseneger dengan mengepit para besi tempat bakar ikan dan enjin sangkut. Dia masih kelihatan steady. Cermin mata hitamnya saja yang sedikit berdebu.
***
"Berhenti, orang tua!" tegur satu suara yang agak parau.
Ketua Kampung dan Ismael serta-merta berhenti melangkah. Dalam akur, mereka berpandangan sesama sendiri, mengamati sekeliling. Setiap pelusuk belukar diteliti mereka, mencari-cari dari arah mana suara itu.
"Kah kah kah!" ketawa suara misteri itu.
Nun di pucuk pokok petai, berdiri seorang pemuda berambut panjang warna kuning tidak berbaju. Tubuhnya berpeluh dan kasut kulitnya paras lutut. Telinganya beranting-anting dan wajahnya dipenuhi parut pertempuran. Tangannya memegang kemas sebilah pedang berkilat sehingga menyerlahkan pembuluh darahnya.
"Kah kah kah! Akulah Pendekar Hujung Petai," jerit pemuda itu sambil mengetuk dadanya dengan hulu pedang.
Ketua Kampung dan Ismael ternganga melihat kehebatan pemuda itu. Kebolehan berdiri di hujung petai memang jarang dimiliki orang banyak. Perasaan kagum dan panik bercampur-baur.
"Macam mana ni, Tok Ketua? Apa kita nak buat?" tanya Ismael cemas.
"Bertenang. Kita tak tahu lagi apa yang dia nak," Ketua Kampung menjawab kemas sambil menjeling tajam Pendekar Hujung Petai.
Tanpa diduga, zrrraaaaaaassssssss... cak!
Sebilah pisau Rambo tercacak di pangkal hidung Pendekar Hujung Petai betul betul di antara kedua-dua belah matanya. Darah pekat panas menyembur membasahi pokok petai. Alam seakan-akan terhenti penuh hening sejenak tiada unggas bersahutan.
"Arrrrggghhhhhhhh!"
Pendekar Hujung Petai menjerit gegak gempita lalu jatuh menghempas bumi. Tubuhnya menggeletik sekejap dan kaku.
"Orang menjual, kita membeli..." antara jelas tidak jelas saja ucapan Ketua Kampung sambil menanggal pisau Rambo dari wajah jegil Pendekar Hujung Petai.
Tidak lama kemudian, sekawan burung hering terbang datang menghurung tubuh pendekar yang sudah tidak bernyawa itu.
***
Makcik Rosmoh merenung jam dinding yang bersandar atas belebas. Sejak tukar bateri tahun lepas, tak disangkut-sangkut semula jam itu ke tempat asalnya. Sudahnya dibiar saja bersandar atas belebas. Nak harapkan Ismael menyangkutnya, tak usahlah. Mandi yang tujuannya untuk kesihatan badan sendiri pun, bersuruh!
"Mana pulak budak Ismael ni dah dekat pukul 3 taknya balik lagi. Training bahas tak kabor lalu... " gerutu Makcik Rosmoh sambil tangan sibuk menyusun pinggan lauk supaya muat tudung saji nak menutup. Dua tiga kali 'ejas', iaitu setelah piring sambal hitam diletaknya menindih bibir pinggan lauk-lauk lain, barulah muat tudung saji yang birunya pudar berdaki buat menutup. Senget sedikit pun tak apa piring sambal itu. Asal tak hurung di lalat.
Hari ini banyak Makcik Rosmoh masak. Halnya sebab belah malam karang ada drama sedap dalam TV yang dah mula ditengoknya sejak episod 2. Jadi tak seronoklah nak menengok sambil memasak. Naklah juga bersandar sikit, memulih lelah dan mendapat nikmat berlunjur kaki hadapan TV.
"Moh, oooooo Moh!" jerit satu suara dari luar rumah.
Makcik Rosmoh yang baru siap cuci pinggan terkejut sikit. Tanpa menyahut, tanpa bergegas, Makcik Rosmoh capai kain buruk di lantai dengan menyepitnya menggunakan jari kaki dan mengelap lantai belah sinki yang berjejeh air. Sedang umur begitu tak payah sampai bersakit pinggang nak menguruskan dapur kalau boleh memakai kaki.
"Ada ke tidak ni? Moh, ooooo Moh! Huuuuuuu!" Sambung suara itu lagi.
Makcik Rosmoh meluru ke hadapan sambil geleng kepala.
"Macam memanggil ayam..."
***
"Pada masa itu belum ada air paip di kawasan rumah saya malah saya sendiri belum kenal dengan kepala paip. Dan banyak jugalah kepala lain yang saya belum begitu kenal termasuk kepala trektar, kepala kain dan kepala kontraktor. Jadi untuk mandi, saya terpaksa berjalan sejauh 6 batu. Begitu jauh! Kadang-kadang ada hari yang bernasib baik saya menumpang kereta kuda ke sana. Begitu susah semasa itu. Tidak seperti masa ini yang mana banyak di kalangan orang kita berjawatan pegawai." jelas orang tua yang memakai bush jacket itu.
Ismael dan Ketua Kampung angguk-angguk kepala dengan wajah yang kelat. Sesekali Ketua Kampung melemparkan pandangannya ke sawah padi menguning disirami matahari petang yang merendah sikit demi sedikit.
"Aki ni betul ke tidak? Saya ni banyak lagi kerja lain, aki." tanya Ismael. Ketua Kampung dari riak wajahnya seperti berputus asa hendak berborak.
"Apa benda pula tak betulnya, orang muda? Saya sendiri pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan kelas satu. Gaji saya semasa itu sebanyak 450 ringgit Malaysia. Cukup mewah. Cukup senang. Serba-serbi mudah. Sarapan pagi ni jangankan emping, roti jala pun boleh makan. Kuih kosui. Kuih lompang pun boleh juga. Sekian banyak kuih sampai tak terbilang dengan jari. Tepung bungkus, tapai daun getah ada, opor ayam, kuih keria, putu beras pulut, temosa, apam beras, kuih koci, tepung talam, pengat labu dan yang paling baik sekalinya ialah daging masak malaikat yang mana jarang jarang orang kita berkebolehan memasaknya." sambung orang tua itu lagi.
Ismael dan Ketua Kampung saling berpandangan.
"Tak boleh jadi ni, Tok Ketua..." bisik Ismael tepi telinga Ketua Kampung.
"Dan apabila islam sampai ke Tanah Melayu pada tahun 1998, dibinanya kerajaan pelbagai jenis masjid. Pada masa itulah saya bersama kawan saya, Mokhtor, Ibrahim menantu kepada Mat Sudin dan lagi seorang Besri, berjalan kaki menempuh Genting Semangkok yang semasa itu belum ada apa apa kemudahan lebuhraya dan lebuh federal untuk turut sama menolong membina masjid negara di Damansara. Itulah masjid yang paling besar di Asia Tenggara. Bekas air tangan kami berempat. Bersusah payah bertukang itu bertukang ini, bergelut dengan segala kesusahan sampai berpeluh bawah mata ni tak usah kira..."
"Minta maaf la, aki. Sebenarnya saya ni bukan nak bersikap kurang ajar. Tapi aki ni banyak sangat bercerita. Saya ni hajatnya nak tahu jalan ke kampung saya je. Kami berdua ni dah sesat barat dari pagi tadi." potong Ketua Kampung.
"Di mana kampung awak berdua ni? Kenapa sedang dalam usia awak berdua ni langsung tidak pandai menggunakan kompas? Saya dulu sebelum bersunat lagi dah pandai membaca kompas. Malahan banyak juga kawan sebaya saya yang lain berkebolehan membuat kompas dari batang gaharu. Sehingga ada yang dieksport ke negara orang putih. Sehingga ada yang 7 keturunan tak habis makan duit kompas. Asasnya cuma kena banyak memerhati. Banyak bertanya, berbincang dan bermuafakat. Banyak menggunakan fikiran ke jalan yang baik baik. Tak payah mengharapkan pertolongan bomoh dan pawang."
"Ada betulnya juga tu, aki." Ismael mengiyakan kata orang tua bush jacket itu.
Ketua Kampung menjeling tajam ke wajah Ismael. Nafasnya kencang turun naik.
"Memanglah betul. Saya pun pada mulanya tidaklah pandai sangat. Tapi setelah tamat senior cambridge, tak semena-mena syukur alhamdulillah saya boleh menyambung pelajaran di Kosmopoint dalam jurusan perlaburan saham. Dari situ saya mula naik sikit demi sedikit untuk mencapai ke tahap sekarang ni. Kalau diukur pada sijil yang saya ada, tahap saya adalah senator dan adalah layak untuk menukar nama geran tanah mana-mana warganegara yang mampu..."
Dup!!!
Orang tua yang memakai bush jacket itu terbaring keras di atas tanah. Ketua Kampung cepat cepat blah dari situ diekori Ismael yang masih ternganga.
Sambil berjalan deras mengikut Ketua Kampung, kejap kejap Ismael pandang belakang. Kejap kejap Ismael pandang belakang. Sehinggalah hilang orang tua bush jacket itu dari pandangannya.
"Padu juga orang tua tu kena..." getus hati kecil Ismael.
***
"Mende halnya awok ni, Ne? Terjerit-jerit macam memanggil ayam," bebel Makcik Rosmoh di muka pintu.
"Laa awok tak tau lagi? Kesnya Melah dengan Kamarioh kena tembak pagi tadi di perhentian bas. Habis putus langsung lehernya. Kesian. Tak aman damai dah kampung kita ni, Moh. Arnold Stevenseneger dah menyerang kampung kita!" jawab Makcik Ne sampai lelah lelah pernafasannya.
Makcik Rosmoh diam sejenak.
"Anak sapa Arnold Stevenseneger tu? Jahat betul budaknya. Tak reti nak berbincang dulu ke?"
"Tak tau la saya, Rosmoh. Moh la kita ke balai raya. Ada mesyuarat di sana khabarnya." ajak Makcik Ne.
"Laa mesyuarat pula... Siapa yang incas masak? Kalau bini Mat Ripin yang masak, memang tak sedap langsung la bihun dia."
"Haa itu la. Saya pun tak berkenan. Banyak sangat Ajinomoto!" cepat Makcik Ne bersetuju.
"Itu hari awok makan masa tahlil di rumah Tok Empat? Gulai nangka tu dia la yang masak!"
"Yehhhhhhh patut la cair!"
"Itu la. Gelarnya handal sangat masak sampai ke Jerantut dia memasak untuk orang menikah. Eksen je lebih." cerita Makcik Rosmoh sampai herot herot mulut
***
Langkah Ismael dan Ketua Kampung makin perlahan. Dengan wajah yang sugul, Ketua Kampung duduk bersandar di perdu pokok. Kakinya lenguh bukan kepalang. Dari pagi tadi terpusing-pusing berjalan tak jumpa hujung pangkal. Ismael turut ikut sama duduk menyandar.
Kruk kruk kruk!
"Lapar juga perut saya ni, Tok Ketua. Alangkah power-nya kalau dapat makan nasik." Ismael bersuara.
"Aok ni, Ismael... Tok lempang karang sia je."
Kruk kruk kruk!
***
Di balai raya ada lebih kurang 40 orang sedang berkumpul. Kecil, besar, tua, muda semuanya hadir tak berkira. Begitu cepat berita tersebar dan begitu bersemangat orang kampung hendak bermesyuarat mencari kata sepakat. Di bawah sinar mentari yang masih terik, semuanya berdiri di luar.
"Siapa pegang kunci balai raya ni?" tanya Haji Baharom yang belakang baju kemejanya sudah basah lencun. Satu persatu muka dipandangnya dan semua angkat bahu tanda tak tahu.
Haji Baharom jadi marah yang jenis tak tahu nak marah siapa.