Menengok Tanah Air
‘Ketika saya buka cerita kepada seorang makwe cun bahawa saya sedang menulis sebuah buku bertajuk Menengok Tanah Air yang banyak berkisar tentang aspek sistem sosial, politik dan ekonomi bertujuan demi bangsa dan negara, makwe itu hanya ketawa. Selama 5 minit dia ketawa.’
Pendahuluan
Setelah menghadapi satu tanggungan yang berat bagi diri saya iaitu hendak memulihkan semula kebolehan dan fikiran saya yang semakin lama semakin tidak baik dan boleh kata merosot atau pun di kepala takuk lama, hampir setiap hari saya merenung kembali di mana silapnya yang mana saya berasa seolah-olah tidak lagi mempunyai batu pelir dan sensitiviti yang baik terhadap sesuatu perkara. Tetapi perbuatan itu tidaklah ada mendatangkan kemajuan selain hanya dapat menambah bilangan teh tarik yang diminum dan batang rokok yang dihisap.
Maka pada bulan September 2011 iaitu beberapa hari sebelum genap umur saya mencapai dua puluh delapan tahun, saya dapati usaha merenung dan mengenang itu tidak berkehendakkan saya meneruskan. Seruan batin meminta-minta untuk saya meninggalkan tilam bantal yang empuk, jadual makan nasi yang konsisten, kemudahan teknologi yang kejam kerana selalu menganggu waktu tidur dan perhubungan sosial tiada hala untuk keluar mengembara dari daerah ke daerah di seluruh tanah air mengikut jalan darat mahupun air.
Oleh yang demikian pada 19 September 2011, telah sampailah waktu untuk menerima perubahan yang besar, bahkan satu perubahan yang berharapkan kepada kejayaan yang lebih luas lagi. Berbekalkan sebuah beg dengan 4 helai baju, 2 helai seluar, berus gigi, buku catitan, duit tunai RM100, jamung, pisau lipat, pistol dan sedikit ilmu di dada menjelajahlah saya ke seluruh negeri-negeri melayu di tanah semenanjung melayu bagi menyempurnakan diri saya dan menambah ilmu pengetahuan yang berhubung dengan hal-ehwal bangsa saya, sekurang-kurangnya mendalamkan pengalaman fahaman atau pengertian saya sendiri bersangkut paut dengan hal pergaulan, kemahuan, paras rupa makwe, port baik, kegemaran belia yang kini cenderung berpersatuan dan sebagainya yang mustahak.
(akan ditambah perenggan bila selesai mengembara)
Syukur ke hadrat tuhan yang telah memberikan sebaik-baik peluang, seelok-elok langkah kepada saya untuk berjalan menengok tanah air dan kaum suku bangsa di seluruh semenanjung tanah melayu ini. Mudah-mudahan ini akan memberi kegunaan yang besar kepada saya untuk bekerja kerana bangsa dan tanah air di masa yang akan datang.
Firdaus Abdillah Hamzah
2011
Bab 1: Bergegas Menuju Utara dan Sebelum Itu Bertemu Mutalib
Setiap kali saya menyatakan hasrat untuk mengembara menengok tanah air, ramai yang bertanya, “mengapa?” dan “apa yang saya cari?” seolah-olah mengembara itu tersangatlah memerlukan rasional dan sebab musabab yang kukuh. Kenapa perlu mengembara ini sepatutnya adalah sesuatu yang tidak perlu ditanya oleh sebuah masyarakat yang bertamadun dan pandai mengisi borang terutamanya borang pinjaman. Mengembara ini sebenarnya adalah kerja yang paling senang untuk dilakukan kerana tidak perlu memilih hari, memilih pakaian yang baik baik, membuat facial, membuat pendaftaran, memberi salinan bil air dan slip pendapatan, menukar agama dan menghadiri kursus. Bagi saya apa yang penting untuk sebuah pengembaraan adalah keyakinan dan Mutalib Uthman.
Jadi setibanya saya di Kuala Lumpur setelah memulakan perjalanan dari Kuala Lipis dengan menaiki bas ekspres, saya bertemu Mutalib Uthman. Mutalib Uthman seperti yang diketahui ramai adalah seorang pemilik syarikat penerbitan terkenal di ibukota Kuala Lumpur iaitu Dubook Press. Saya bertemu beliau di Midvalley, sebuah pusat membeli belah yang dikeluar masuk oleh pelbagai jenis hamba.
Sebaik bertemu Mutalib Uthman, beliau membawa saya ke sebuah restoran berasaskan nasi ayam. Kebetulan petang itu saya benar-benar lapar. Satu lagi hal yang bagi saya bagai pucuk dicita, Mutalib Uthman turut menempah sepiring kerabu mangga. Lama benar saya tidak menikmati kerabu mangga yang memang sejenis makanan kegemaran yang jarang-jarang saya beli sendiri.
Sesudah makan, keadaan menjadi tenang dan hening. Merasakan detik itu begitu sesuai ketika itulah saya membuka mulut.
"Mutalib, aku nak pergi mengembara ni..." ujar saya menyatakan hasrat.
"Pergilah kau. Peduli apa aku," jawab Mutalib seolah-olah memiliki kebolehan untuk menduga hasrat saya yang paling dalam di sebalik hasrat mengembara.
"Sporting la sikit, Mut,” rayu saya, “ko ada seratus? Bagi aku pinjam dulu. Nanti bila aku dah kaya serta beroleh kewangan yang kukuh aku bayar la," sambung saya berterus-terang.
"Nah ambik ko," hulur Mutalib, "ingat, honest money goes further."
Ketika itu hendak saja saya mengatakan honest kepala bana dia.
***
Mendapat saja duit dari Mutalib, saya merasa begitu senang hati. Impian mengembara saya menjadi begitu bersinar sekali lalu ketika itu juga saya bergegas menuju Stesen KL Sentral iaitu sebuah tempat yang mengumpulkan segala jenis kenderaan dan pengangkutan untuk ke mana-mana saja di dalam dan luar negeri. Boleh jadi mahu ke syurga juga boleh tetapi seperti yang telah saya sebutkan di perenggan awal buku ini, itu memerlukan keyakinan.
Nota: Setakat ini pengembaraan baru sampai di daerah-daerah dalam negeri Perlis, Langkawi dan Georgetown. Pengembaraan akan disambung awal tahun hadapan.