Aku membuat temujanji kedua dengan teman wanitaku. Pada satu tengah hari, aku muncul di banglonya.
"Alamak!" Katanya sambil membukakan pintu, "saya betul-betul lupa nak beritahu awak yang saya perlu keluar 10 minit lagi. Ada urusan. Tapi takpe la, silakan masuk dulu."
Aku masuk dan memerhatikan seluruh ruang tamunya seadil mungkin. Bersih dan kemas. Terdapat komputer di atas meja makan dengan paparan foto buah pinggang di skrinnya. Buku-buku perubatan menimbun di sebelah komputer. Sementara itu, dia ligat di dapur memanaskan air di dalam cerek elektrik. Tidak lama dia datang kepadaku membawa secawan kopi segera.
"Maaf, saya tak pandai buat teh tarik."
Aku tersenyum nipis memandang rambutnya yang bertocang kiri dan kanan. Agaknya tersedar, dia terus berjalan dan berdiri di hadapan cermin.
"Bila di rumah saya memang suka mengikat rambut begini untuk kelihatan lebih manja," ujarnya lalu meleraikan ikatan rambutnya. Dia mula menyikat merapikan rambut panjangnya yang hitam pekat. Kemudian dia mengikatnya semula tetapi kali ini nampaknya seperti fesyen ekor kuda. "Bila mahu keluar saya senang begini supaya nampak lebih matang." Selesai mengikat dan menggayakan beberapa ketika dia menyambung, "nampak lebih matang, kan?"
Aku mengangguk dan tertawa kecil.
"Eh, jom ke luar. Udara lebih baik di luar." Dia menarik tangan aku ke luar rumah. Aku merelakan diri mengekorinya dan meninggalkan kopi panas segera yang masih berbaki. Kami duduk di satu bangku di anjung rumah berhampiran sebatang pokok mempelam yang rendang.
Seorang jiran yang sedang memukul permaidani dengan sebatang kayu hoki menyedari kami dan melambaikan tangan. Teman wanitaku membalas mesra. Aku turut tersenyum terhadap jiran yang hanya nampak mata sahaja itu.
"Jiran saya dan mama di sini semuanya baik-baik dan peramah. Mereka memanggil saya 'Adik Manis'. Hairan saya. Saya sendiri tidak tergamak memanggil mereka, 'Pakcik Mesra' atau 'Makcik Riang'.
Percakapan teman wanitaku terhenti apabila menyedari sebuah kereta sport berada di luar pagar rumahnya.
"Itu milik awak?"
"Ya," jawab aku ringkas.
"Wah! Saya suka bersiar-siar menaiki kereta menikmati pemandangan di desa. Boleh la awak bawa saya nanti! Saya akan hubungi awak bila ada masa yang senggang," ujarnya bersemangat dengan mata yang bulat, "ada air-cond?" Sambung dia.
Aku menggelengkan kepala.
Dia melemparkan senyuman yang begitu manis dan hangat. Selepas pertemuan itu aku tidak lagi mendengar sebarang berita daripadanya.