“Mengikut kata La Rochefoucauld, ‘nak tau berani tak berani kita ini, pergilah bertembung dengan bahaya’. Lebih kurang macam itulah yang aku dengar cerita. Tapi bagi aku dia tak cukup betul. Banyak lagi dia kena belajar dengan aku,” kata Jefri merenung tajam kedua biji mata Osman.
Osman diam tidak bersuara seolah-olah bersetuju dengan kata-kata Jefri. Dia membiarkan dirinya direnung Jefri selama lima minit.
“Okey la, Osman. Aku nak pergi mandi.”
Jefri beransur masuk ke rumah.
***
Braaa!!! Braaa!!! Braaaa!!!
Tiga gayung - sabun - lima gayung. Itulah resepi mandi Jefri yang diyakininya beberapa tahun kebelakangan ini. Selesai mandi, Jefri berlari-lari anak menuju ke biliknya sambil menyanyi lagu rock klasik bahagian korus sahaja. Suaranya tinggi. Jefri memang menyedari hakikat itu.
“Kau cuba la, Jefri. Aku yakin kau boleh mara ke peringkat separuh akhir,” pujuk Amat Kiamat.
“Sudah la, Amat. Kau kan tahu aku ni ada prinsip. Bagi aku kalau kita ni bagus, biar M. Nasir tu datang cari kita kat rumah. Jangan kita ni terhegeh-hegeh cari dia,” bilang Jefri.
Amat Kiamat hampa, “ikut suka kau la, Jefri. Kalau macam tu, biar aku je la pergi cuba. Kau jangan menyesal bila nampak aku dalam TV nanti,”
“Takkan aku menyesal, Amat. Bagi aku TV bukan segala-galanya,”
Tap!
Kipas angin dibuka Jefri pada kelajuan 3. Tujuannya adalah untuk lebih mudah rambutnya kering. Dia tidak suka keluar rumah dengan rambut yang basah seperti memerang yang baru naik dari sungai.
Jefri menatap wajahnya di hadapan cermin sambil menyapu deodoran di ketiak. Mengenang pujukan Amat beberapa bulan lepas membuatkan Jefri tersenyum nipis seketika. Amat ada idea dan semangat, tapi dia hijau tentang perjalanan dunia.
“Smart juga aku ni,” bisik hati Jefri. Sikat oren di atas meja dicapainya lalu menyikat rambutnya berhati-hati mengelak tersangkut, “dengan wajah begini kalau tidak seorang pilot, seharusnya aku seorang pengurus bank,”