Setelah aku kira semula tadi, sudah 30 tahun lamanya aku memperhambakan diri di dalam bolasepak. Di dalam tahun-tahun yang sebanyak 30 itu, aku dibayar untuk menyepak dan menyepak untuk membayar. Selain membayar segala macam jenis bil dan ansuran kereta rumah, aku juga membayar sokongan negara dan bangsa.
Sebagai perkenalan, aku Baharom atau nama sebenar yang tertera di Mykad, Baharom Bin Bahari. Abah kata nama itu adalah gabungan namanya, Bahari Bakar dan nama emak, Romlah Jalil. Panjang dan bergeliga juga akal mereka berdua. Tokoh Maal Hijrah pun rasanya belum tentu boleh mendapat ilham sebegitu.
Aku dilahirkan di Kuala Lipis yang letaknya di dalam negeri Pahang pada 23 Jun tahun 1999. Makanan kegemaranku ialah nasi goreng kampung. Minuman kegemaran pula air kacang soya. Lagi-lagi air kacang soya yang emak masak di rumah. Memang lazat. Air kacang soya yang emak masak tak sama macam yang dijual dalam botol atau dalam kotak di kedai mahu pun pasaraya. Tapi jarang emak masak air itu. Di bulan Ramadan dapatlah merasa.
Di dalam adik-beradikku yang seramai 3 orang, aku anak kedua. Yang sulung, kakak. Namanya Ramona. Yang bongsu, adik lelaki. Kakak 5 tahun lebih tua dari aku. Aku tua 5 tahun dari adik yang bernama Borhan. Mungkin ini memang sengaja dirancang oleh emak dan abah. Seperti ada pepatah yang aku pernah dengar mengatakan, ‘kita mampu merancang, hanya tuhan yang menentukan’. Tetapi tidaklah aku pasti sama ada itu pepatah yang disahkan oleh Dewan Bahasa Pustaka atau tidak.
Aku membesar di dalam keluarga yang tidak kaya dan tidaklah terlalu miskin seperti penarik beca. Waktu kecilku, abah seorang pembantu tadbir rendah di pejabat tanah daerah. Kerjanya ialah masuk ke pejabat pada pukul 8 pagi dan pulang ke rumah pada pukul 5 petang. Begitulah setiap hari dari hari isnin hingga ke jumaat. Tidak kaya-kaya. Sekarang abah sudah bersara. Tetapi masih juga tidak kaya seperti Bill Gates.
Emak pula seorang suri rumah sepenuh masa. Emak cukup cemerlang di rumah terutamanya di bahagian dapur dan aspek menjaga makan pakai adik. Rasanya emak tidak pernah pun mendapat pendidikan suri rumah secara formal. Aku cukup suka suara emak ketika menyanyi dodoikan adik di dalam buaian. Merdu sungguh suaranya. Jangan jangan, emak yang mengajar Siti Nurhaliza, penyanyi legenda dari tempat kelahiranku itu menyanyi.
Kami sekeluarga tinggal di sebuah rumah bernombor 34 di deretan kuarters perumahan kakitangan kerajaan yang tua dengan atap genting berlumut, berselipar dan juga dihiasi beberapa bulu tangkis rongak di Jalan Tempoyang. Rata-rata penghuni kuarters itu adalah kakitangan rendah kerajaan seperti tukang kebun, pekerja am, peon dan sebagainya. Jarak kuarters itu kira-kira 5 kilometer dari pekan koboi Kuala Lipis dan 225 kilometer dari Kuala Lumpur.
Di daerah Kuala Lipis, keluarga kami boleh dikatakan sebuah ‘keluarga sukan’. Abah adalah seorang pertahanan tengah handalan merangkap ketua pasukan bolasepak Pejabat Tanah Kuala Lipis. Dalam liga daerah, pasukan abah itu antara pasukan pilihan setiap musim. Di padang. dia dikenali sebagai pemain yang tegas, hebat di udara, liat dan cekap merampas bola di kaki pemain lawan di kalangan rakan dan seterunya.
Pernah pada satu tahun, dia melakukan terjahan keras terhadap Tengku Mahkota Pahang dalam satu perlawanan persahabatan di antara Lipis All Star menentang Pilihan Shahzan Muda FC di Padang Majlis Daerah Kuala Lipis. Tengku Mahkota hilang kawalan dan jatuh tergolek sambil meraung kesakitan seperti singa yang luka. Akhirnya Tengku Mahkota terpaksa diusung keluar padang dan dikejarkan ke hospital. Hasil pemeriksaan doktor, kaki baginda diisytiharkan ‘patah tebu’. Namun pengadil di padang mengesahkan terjahan abah bersih dan abah tidak dilayangkan sebarang kad.
“Orang main bola ni orang kuat kuat dan ada akal saja, Rom” kata abah pada satu hari minggu sambil bersila mengilat kasut bolanya di muka pintu.
Aku yang sedang tekun memasukkan tali ke lubang-lubang kasutnya, membisu.
“Kau tahu tak dulu abah pernah main liga Perancis?” tanya abah.
Aku masih diam. Cuma sesekali aku memandang wajah abah. Sebelah kasut hampir siap terpasang talinya. Agak payah untuk memasukkan tali kasut itu ke dalam lubang kasut kerana hujungnya sudah pecah-pecah dan terlerai jalinan benangnya.
“Masa di Marseille dulu, Zinedine Zidane tu abah punya ‘junior’. Time abah praktis tendang bola, dia jaga belakang gol tolong kutip bola. Rajin budak tu. Kau kenal tak Zinedine Zidane ni, Rom?” tanya abah lagi.
“Alaa kan kita ada tengok itu hari dalam TV.” sambung abah pantas.
Ya, ada satu bulan ketika aku masih di dalam darjah 1, hampir setiap hari ada perlawanan bola sepak yang membabitkan orang putih, orang hitam, dan orang cina di kaca TV. Aku hairan. Kalau tidak silap semasa itu bulan Jun. Bulan itu juga aku tengok abah asyik tidur lambat dan wajahnya agak barai apabila bangun pagi untuk pergi bekerja. Hampir semua perlawanan abah tidak ketinggalan untuk menontonnya. Sebagai jalan mudah untuk aku menyelesaikan persoalan di dalam kepalaku, aku bertanya kepada abah.
“Kenapa tiap-tiap hari ada lawan bola, abah?” tanya aku sambil mengunyah biskut ‘Meri’.
“Oh sekarang ni pertandingan bola sepak Piala Dunia sedang berlangsung di Jerman sana, Rom. Jadi tiap-tiap harilah ada orang berlawan bola.” jawab abah juga sambil mengunyah biskut ‘Meri’.
Aku diam. Mata abah pula masih tepat ke TV.
“Sekarang siapa lawan ni, abah?” tanya aku sambil mengunyah biskut ‘Meri’ yang entah keberapa keping.
“Perancis lawan Switzerland…” ringkas jawapan abah.
“Negara negara saja abah ya?”
“Ya. Negara negara saja yang bertanding.”
“Malaysia ada main, abah?”
Abah diam.
Aku juga serta-merta teringat perlawanan akhir Piala Dunia tahun itu yang menyebabkan aku kenal betul dengan Zinedine Zidane yang dikatakan abah. Lalu aku anggukkan kepala. Abah tersenyum sambil menutup kemas tin pengilat kasut.
“Kalau kau tak percaya, pergi tanya mak kau.”
Emak juga dahulunya seorang ahli sukan. Kebolehannya adalah di dalam acara larian jarak jauh. Emak pernah berlari untuk negeri Pahang di Sukan Malaysia pada satu ketika dahulu. Di zaman kegemilangannya juga emak pernah dicalonkan sebagai olahragawati kebangsaan setelah memegang rekod kebangsaan di dalam acara 10,000m, 5,000m dan 1500m. Tetapi tiba-tiba pada satu tahun, entah mengapa prestasi emak jatuh mendadak. Lariannya semakin merosot dan lemah. .Tragedi itu berlaku semasa emak sibuk menjalani persiapan ke Sukan SEA. Apabila sudah tidak mampu lagi meningkatkan prestasi, akhirnya emak mengambil keputusan untuk terus bersara dari dunia olahraga. Kata abah, puncanya emak ‘frust’ sebab cintanya ditolak Zaki Samrin, atlit lompat kijang termasyhur pada zaman itu.
Walaupun sudah lama bersara, emak sebenarnya tidak meninggalkan dunia larian sepenuhnya. Kadang-kadang jika berpeluang, dia meluangkan masa menyertai pertandingan marathon terbuka pelbagai peringkat. Tapi sejak Borhan lahir, emak sudah kurang aktif. Rutin seperti berjogging pada waktu pagi bersama abah pun sudah ditinggalkan. Aktivitinya lebih banyak di dapur. Sebenarnya sepanjang aku hidup, belum pernah pun aku lihat emak berlari. Cuma malam raya saja emak kelihatan memasak secara marathon.
“Mak, betul ke abah dulu pernah main bola liga Perancis?” Tanya aku kepada emak pada satu malam.
Emak sedang ralit menggelek tepung karipap. Karipap itu pagi-pagi esoknya hendak digoreng dan dihantar ke warung Pak Teh di seberang jalan hadapan rumah.
“Apa lagi yang orang tua tu temberang?” Emak pula yang bertanya.
Aku cuma tersengih sambil membuat ular sawa menggunakan tepung karipap yang dicubit dari bekas uli. Entah macam mana agaknya rupa Zaki Samrin yang menjadi pujaan emak itu dahulu.
Episod 1
Episod 2
Episod 3
(2-3 tahun lepas punya tulisan konon konon nak buat buku)