Angan-angan Piala
Dunia
Saya yakin yang satu hari nanti Malaysia akan layak ke
pusingan akhir Piala Dunia. Memang saya yakin benar. Cuma yang saya kurang
yakin, entah masih hidup ke tidak saya ketika itu. Kalau hidup pun, entah pula
mata dah kena katarak lalu tak dapat nak menengok bola lagi.
Sebab itulah hal-ehwal tentang Malaysia ke Piala Dunia
ini, lebih baik saya berangan-angan sendiri saja. Tak payah Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) tolong pasangkan angan-angan untuk saya. Tak perlu media
itu ini buka cerita angan-angan itu ini untuk saya. Dan tak perlu pemain
kebangsaan kita dengan yakinnya berangan dalam TV, "Kami akan membuat yang
terbaik..." sebelum panjat kapal terbang pergi bertarung di perantauan.
Bila masuk padang, yang celaka itulah yang terbaiknya. Sasaran 2018, 2022, 2026
itu pun semua angan-angan badan bola sepak yang ahlinya langsung tidak ahli
perihal bola sepak.
Kalau mengikut angan-angan saya sendiri, Malaysia ini
boleh awal pergi ke Piala Dunia. Tapi ceritanya begini.
Pada satu hari biasa biasa di mana yang tua sibuk
beribadat di rumah mahu masuk syurga, yang separuh tua sibuk di pejabat mahu
bayar bil, yang muda tak habis-habis berasmara kerana belum dapat dan yang
kanak-kanak semakin obes di hadapan TV dan komputer, muncul satu susuk yang
tidak asing lagi di kaca TV. Dengan kepala bersongkok, Sultan Bola ingin
membuat satu pengumuman yang penting lagi mendebarkan.
"Beta dengan ini mengisytiharkan Harimau Malaya
dilupuskan dan semua liga bola sepak tempatan dibubar dan dihentikan
serta-merta. Semua pemain bola sepak boleh balik kampung tanam jagung,"
titah Sultan Bola.
Maka terhenti terus pekerjaan seluruh rakyat Malaysia.
Semuanya hairan berkerut-kerut kening tertanya-tanya. Semuanya melopong tak
tentu hala. Belum dan 5 minit, semuanya sambung kerja seperti biasa. Yang
beribadat - sambung bersila, yang bekerja - sambung menjenguk Facebook, yang
berasmara - sambung membelek teman masing-masing dan yang kanak-kanak sambung
baring sambil mengunyah.
Pemain-pemain bola sepak yang buat-buat terkejut pula,
bagai lembu pulanglah mereka ke kampung halaman masing-masing. Yang mendengar
cakap pergilah dia menanam jagung. Yang pandai bercakap mulalah dia cuba-cuba
menjual insurans. Dan yang banyak cakap, terus sibuk dia berpersatuan menuntut
pampasan itu dan ini akibat tak pernah menyimpan.
Dalam pada bekas-bekas pemain bola sepak nasibnya tak
ketahuan dan rakyat Malaysia sibuk menonton orang Itali, Inggeris, Jerman, Sepanyol, Indonesia dan Brazil
bermain bola, muncul pula dua pemuda yang ada semangat dan ada wawasan.
Kedua-duanya dari Kuala Lipis, Pahang dan kedua-duanya baru balik dari menuntut
jauh di luar negeri. Salah seorang pandai ekonomi dan lagi seorang mungkin
cerdik hal pemasaran. Namun berkat banyak membaca, pandailah mereka sikit-sikit
tentang hal kejuruteraan, teknologi, politik, pertanian, pentadbiran dan sains.
Kedua-dua pemuda itu ada satu cita-cita besar iaitu
mahu menubuhkan kelab bola sepak profesional. Maka berbekalkan geran tanah
pusaka berekar-ekar luasnya, datanglah mereka berdua berjumpa pengurus bank
sana dan sini mahu meminjam duit. Walaupun rata-rata pengurus bank ketawa
mendengar permohonan mereka, namun akhirnya dapatlah juga mereka sejumlah wang
yang diperlukan. Kemudian dengan wang itu mereka pun membina stadium bola sepak
berkapasiti 500 tempat duduk 2000 tempat berdiri lengkap dengan kemudahan
padang latihan, gimnasium, dewan makan, asrama, restoran dan mungkin kolam ikan
patin. Selesai pembinaan stadium itu lalu tertubuhlah Kelab Bola Sepak Torpedo
Lipis dengan logo torpedo warna merah, hitam dan putih.
Untuk menjana pendapatan semula, restoran di stadium
dibuka dua pemuda itu dengan hebatnya seperti kedai mamak dengan dipasangkan sekali
layar besar untuk pengunjung makan dan minum sambil menonton siaran bola
langsung dari seberang laut. Kemudian kolam ikan patin turut diusahakan secara
komersial dan ikan-ikan patin dipasarkan ke Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama,
kedua-dua pemuda itu ligat mencari kumpulan pelatih pertama untuk kelab bola
sepak mereka. Disebabkan mereka pandai, tidaklah mereka cari pemain yang sudah
remaja dan babil atau bekas-bekas pemain liga tempatan yang melahu tiada kerja.
Sebaliknya mereka masuk ke kampung-kampung dan ke sekolah-sekolah mencari
kanak-kanak berusia 8-9 tahun hatta anak-anak orang asal sekalipun.
Tidak cukup dengan kanak-kanak usia 8-9 tahun yang
mereka temui, mereka buka pula ujian pemilihan untuk kanak-kanak dalam
lingkungan umur tersebut di peringkat daerah. Akhirnya terkumpul jua 30 orang
kanak-kanak berusia delapan hingga sembilan tahun yang mempunyai bakat dan
potensi di dalam bola sepak. Dengan syarat dan kebenaran dipersetujui oleh
pihak kelab dan ibu bapa, kanak-kanak itu pun menetaplah di asrama Torpedo
Lipis FC dengan harapan dapat menjadi seorang Cristiano Ronaldo. Pihak Torpedo
Lipis menggalas tanggungjawab dalam hal pemakanan, kebajikan, pengangkutan
pembelajaran, peralatan dan sebagainya.
Nak dijadikan cerita (nak dijadikan angan-angan yang
lebih ‘power’), sementara itu bekas-bekas pemain bola sepak tempatan yang giat
berpersatuan menuntut pampasan itu ini akhirnya diberi pekerjaan yang cerah
masa hadapan di dalam kerajaan. Kerajaan dengan berbesar hatinya melantik
mereka menjadi jurulatih bola sepak sekolah gred 17. Gembira bukan kepalang
bekas-bekas pemain itu bila mendapat khabar begitu.
Bagaimana dengan Torpedo Lipis? Siapa yang akan
melatih mereka? Dua pemuda itu tidak mengabaikan kepakaran jurulatih tempatan
yang juga melahu tiada kerja. Dengan menawarkan skim gaji menarik, seorang dua
bekas jurulatih dan pemain kebangsaan dibawa masuk ke Torpedo Lipis FC sebagai
jurulatih kanak-kanak yang telah dikumpulkan khusus untuk melatih dan mengilap
kemahiran asas mereka dan kecergasan. Setelah itu berlatihlah kanak-kanak itu
dengan bersungguh-sungguh setiap pagi, kemudian dihantar dengan bas ke sekolah
dan petangnya berlatih semua hingga ke maghrib.
Setelah umur kanak-kanak itu tadi mencapai umur 10
tahun, maka lengkaplah ilmu di dada mereka dengan teknik asas menahan bola,
mendada, menanduk, menendang, melencongkan, menggelecek, menangkap bola,
menghantar, merampas bola dan macam-macam lagi termasuk bab teori. Tiada yang
tertinggal. Semuanya dilatih dengan penuh berdisiplin kerana bukan senang mahu
cari duit dilaburkan untuk mereka.
Dua pemuda yang membuka Torpedo Lipis itu makin
optimis dan yakin dengan apa yang mereka lakukan. Kewangan kelab dijana lagi
dengan mewujudkan ladang ternakan kambing, burung unta dan
perniagaan-perniagaan yang menguntungkan. Semuanya semata-mata ingin
mendapatkan pula jurulatih-jurulatih yang lebih khusus di dalam soal
kecergasan, taktikal, serangan, pertahanan malah ahli fisioterapi.
Dengan pasukan muda yang terlatih lengkap dengan
peralatan seperti kasut, stoking, shin pad, dan jersi mereka mula dibawa
menentang pasukan-pasukan lain. Dengan pasukan mana? Mereka berlawan dengan
pasukan-pasukan sekolah sekitar daerah yang dilatih jurulatih bola sepak
kerajaan tadi. Perlawanan dilakukan dengan formaliti sebenar dalam bilangan
yang kerap. Kadang-kadang seminggu hampir 3 kali mereka bermain. Semuanya adalah
pendedahan untuk menghasilkan pemain profesional yang arif setiap inci
permukaan padang.
Kegiatan Torpedo Lipis FC ini secara tidak langsung
mula diberi perhatian oleh beberapa pihak khususnya belia-belia di daerah
bersebelahan. Budak-budak muda di Jerantut rasa tercabar. Lalu mereka
bersepakat mengumpul geran tanah pusaka dan membuat pinjaman bank seterusnya
membina stadium dan menubuhkan kelab bola sepak Jerantut Hotspur. Di Raub juga
turut sama ceritanya. Pemuda di sana pun tidak mahu ketinggalan dan turut
melakukan perkara yang sama dengan modul Torpedo Lipis FC. Akhirnya mereka
menubuhkan kelab bola sepak Galataraub FC. Perkara ini kemudian dengan pantas
merebak sehingga ke seluruh pelusuk negeri. Akhirnya pelbagai kelab di setiap
daerah muncul bagai cendawan seperti Temerloh Rovers, Kuantan United, Atletico
Bentong, Real Maran, Mentakab City, Pekan Galaxy, Bera Rangers, Sporting
Cameron dan Jengka Wanderers.
Perkembangan ini memberi satu persaingan yang lebih
sihat dan mencabar kepada dua pemuda yang mengasaskan Torpedo Lipis FC. Dengan
kemudahan bas kelab, keluarlah mereka sepasukan untuk mengadakan perlawanan
demi perlawanan dengan kelab-kelab bola sepak di daerah lain. Dengan ini secara
tidak langsung terjadinya liga tidak rasmi bagi kanak-kanak berusia lingkungan
10-11 tahun di seluruh negeri Pahang. Yang lebih menarik, di antara kelab-kelab
itu terjadinya perseteruan yang hebat sehingga sanggup melabur untuk
mendapatkan khidmat jurulatih lebih berkualiti dan menghantar ‘scout’ merata
negeri malah hingga ke negara jiran untuk mendapatkan pemain handalan. Bagi
melakukan itu semua pemilik kelab meningkatkan lagi tahap kewangan kelab
masing-masing dengan membuka perniagaan pasaraya, membuka ladang, menanam
serai, membuat projek perumahan, mengambil tender-tender kerajaan dan
sebagainya.
Hal ini kemudiannya membuka mata persatuan bola sepak
negeri. Akhirnya ofis persatuan bola sepak negeri yang sudah bersawang kembali
beroperasi dengan menganjurkan liga negeri secara rasmi.
6 tahun kemudian, hampir seluruh daerah di seluruh
negara sudah mempunyai kelab bola sepak masing-masing seperti Barcelumut,
Lokomotif Kangar, Melaka Town dan Borussia Tawau. Perkembangan semakin lama
semakin pesat sehingga wujud kembali liga bola sepak kebangsaan yang dimulakan
dengan perlawanan klasifikasi untuk semua kelab bagi menentukan divisyen.
Akhirnya sebuah liga divisyen 1 dan 2 dengan 20 pasukan di setiap divisyen
dilancarkan. Sebuah liga yang dimainkan oleh remaja berumur purata 16 tahun. Dan
secara automatik pasukan Harimau Malaya kembali beraksi di arena antarabangsa
selepas menyepi hampir 8 tahun.
***
Kembali ke Torpedo Lipis FC, 30 orang pemain kumpulan
pertama mereka sudah genap berusia 16 tahun. Saat ini adalah saat yang
mendebarkan bagi mereka. Pada usia ini mereka semestinya mempunyai segala
ciri-ciri khususnya fizikal seorang pemain bola sepak sebenar dan memiliki gaya
permainan masing-masing. Bagi pemain yang benar-benar mencapai tahap yang
sepatutnya, mereka ditawarkan kontrak profesional dan kekal di Torpedo Lipis
FC. Mereka yang gagal mungkin bersara, menyambung pelajaran atau berkelana
mencuba nasib di kelab-kelab lain. Pada ketika itu muncul remaja bernama
Baharom Bahari mengetuai senarai pemain yang ditawarkan kontrak profesional.
Dialah kapten Torpedo Lipis FC sejak berusia 9 tahun.
Berdasarkan statistik, Baharom Bahari bermain 30
perlawanan kompetitif setiap tahun sejak berusia 10 tahun. Rekod jaringannya
pula adalah purata 16 gol setiap tahun sebagai seorang pemain tengah menyerang.
Kini di liga kebangsaan divisyen 1 edisi pertama, Baharom Bahari berjaya
membawa Torpedo Lipis FC menjadi juara liga.
Di peringkat antarabangsa, termasuk Baharom Bahari
seramai 6 orang pemain Torpedo Lipis FC disenaraikan di dalam skuad kebangsaan
bagi pertandingan peringkat Asia Tenggara dan Asia. Rata-rata pemain kebangsaan
ketika itu berusia 16 dan 17 tahun.
Mengikut rekod angan-angan saya yang mula menjelma
selepas perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 di mana Malaysia dibelasah 5-0
oleh UAE pada 21 Januari 2009, Baharom
Bahari pada tahun 2011 ini berusia 12 tahun. Baharom Bahari genap berusia 16
tahun pada tahun 2015 dan pada tahun tersebut dia bersama-sama skuad kebangsaan
bermain di kelayakan Olimpik 2016. Pada tahun berikutnya, Malaysia mula kembali
bermain di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 namun gagal layak lagi sekali.
Pada tahun 2017, Baharom Bahari genap berusia 18 tahun
dan mendapat tawaran dari kelab Australia dan bermain di Liga Australia selama
2 musim. Torpedo Lipis FC menjadi kelab terkaya di Malaysia dengan stadium bola
sepak berkapasiti 15,000 tempat duduk apabila beberapa orang pemainnya
dipancing beberapa kelab Asia selepas bermain di separuh akhir Piala AFC 2016.
Dalam masa yang sama mereka masih mengekalkan akademi bola sepak mereka untuk pembangunan
jangka masa panjang.
Pada tahun 2019 iaitu selepas 2 musim bermain di Liga
Australia, Baharom Bahari yang ketika itu berusia 20 tahun ke Napoli dengan
reputasi sebagai pemain terbaik Liga Australia dan menerima pencalonan Pemain
Terbaik Asia 2019. Bermain di Serie A, beliau cemerlang sehingga membantu
Napoli ke Liga Juara Juara Eropah musim berikutnya.
Dipendekkan cerita, Malaysia yang sudah mempunyai liga
kompetitif setaraf liga Jepun, Korea dan Australia beraksi di pusingan akhir
Piala Dunia pada tahun 2022. Nasib yang kurang baik ditambah kurang pengalaman,
mereka terkandas di peringkat kumpulan. Namun begitu akhirnya empat tahun
berikutnya, Baharom Bahari yang berusia 27 tahun berjaya memimpin generasi emas
Malaysia hingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2026.
Begitulah serba ringkasnya kisah angan-angan saya
selama ini ketika duduk mengelamun di kedai-kedai mamak sambil menghirup teh
tarik. Andai sesiapa mengatakan angan-angan saya itu gila atau tidak masuk akal,
maka lebih tidak masuk akal dan gilalah angan-angan FAM, media dan sesiapa
sahaja rakyat Malaysia yang mahu layak ke Piala Dunia 2018, 2022 hatta 2102
sekalipun dalam keadaan liga domestik yang hancur lebur dan ranking negara kita
sekarang.
(Karangan ini pernah tersiar di dalam buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia.)