29 Januari 2013

Gig Benta


09 Januari 2013

The Real Pahang 3-2 Johor Palsu

1. Saya berada di rumah ketika Pahang melakukan sepak mula menentang sebuah pasukan yang saya kurang arif dengan logo harimau dan beberapa biji bintang pada pakaian mereka yang kelihatan seperti baju celup, sejenis fesyen yang saya kurang gemari.

2. Pasukan yang ditakdirkan bertemu Pahang itu bergelar Johor Darul Takzim FC. Sebelum ini saya tidak pernah dengar nama pasukan ini di dalam saingan liga mahupun piala tempatan. Mereka bermain di Stadium Darul Makmur atau dalam Bahasa Sepanyolnya Santiago Bernabeu, sebuah stadium yang bersejarah dan pernah dilabelkan sebagai stadium tercanggih di Asia Tenggara sekitar awal 70-an.

3. Saya menganggap mereka Johor yang palsu kerana semua sudah sedia maklum bahawa pasukan Johor sebenar sememangnya masih berada di Liga Perdana iaitu liga yang sedikit rendah prestijnya berbanding Liga Super.

4. Senarai kesebelasan utama pasukan Pahang untuk perlawanan malam tadi tidak begitu mengejutkan apabila menampilkan dua penyerang import iaitu Nikolce Klečkarovski dan Mohamed Borji. Faizol Hussien dan Amirul Hadi pula diberi kepercayaan mengemudi barisan tengah sementara Gopi dan Hafiz Kamal di bangku simpanan. Saya agak hairan Fauzi Roslan bermula sebagai winger.

5. Pahang melakukan kejutan di awal perlawanan apabila penyerang import, Nico dengan sambil lewa menendang bola masuk ke dalam gol. Malangnya gol itu tidak dikira kerana penjaga gol Johor palsu yang berterabur menangkap bola dikasihani pengadil.

6. Separuh masa pertama pasukan berjersi kain celup itu berjaya mendahului perlawanan dengan jaringan 2-0. Saya fikir pertahanan Johor DT yang tidak bermain guna otak dan hanya tahu clear bola bernama Muslim itu telah berjaya mengawal penyerang import Pahang dengan baik. Namun Pahang masih bermain bola sepak yang mantap dan sistematik.

7. Dollah Salleh menelefon saya memberitahu, "jangan bimbang" lalu saya mendapat tangkap sedikit sebanyak strategi bekas bintang Johor sebenar itu. Untuk makluman dia tidak pernah bermain untuk Johor DT.

8. Seperti yang telah dijangka, kedua-dua penyerang import dikeluarkan oleh Dollah Salleh lalu memasukkan Surendran dan Gopi. Fauzi Roslan serta-merta diberi tugasan sebagai penyerang dibantu Alex di belakangnya.

9. Barisan pertahanan Johor DT menjadi hairan. Mereka mula berasa tidak ada kerja kerana tugasan tight marking kepada dua penyerang import Pahang telah tamat. Di hadapan mereka hanya tinggal anak-anak tempatan yang tidak perlu dipandang tinggi. Jadi Muslim berasakan dia cuma perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada clear bola merata-rata apabila bola sampai di kawasan pasukannya.

10. Itulah strategi Dollah Salleh dan salah seorang bekas juri pertandingan Raja Lawak, Zainal Abidin Hassan. Pasukan Pahang mula bermain bola sepak sebenar iaitu sejenis bola sepak power mirip pasukan ter-power di dunia bernama Arsenal.

11. Kurang 5 minit, Fauzi Roslan berjaya mendapatkan gol pertama Pahang. Bola yang dihantar oleh Faizol Hussien sungguh cantik bak sutera dan disambut tenang oleh Fauzi yang melepaskan satu tendangan yang yakin tanpa berambut perang. Ramai bertanya kepada saya, 'adakah kakinya diperbuat daripada rare earth?'

12. Saya mendapati Safiq Rahim mula menjadi gila. Dia lupa bermain bola berpasukan dan berperasaan kononnya tendangan dan hantaran jauh gopohnya bergeliga untuk bahagian serangan. 

13. Muslim pula terus-menerus bangang. Dia bertahan dengan cara menendang bola mengikut bangangnya dan bola banyak menuju kaki pemain Pahang yang lalu tenang menyerang kembali melalui lubuk Johor DT iaitu Tuah. Entah dari manalah TMJ mendapat pemain bernama Tuah itu.

14. Di bangku simpanan, Presiden PBNJ menjadi kucar-kacir menyuruh Fandi menukar pemain itu, pemain ini. Fandi Ahmad yang profesional dan berpengalaman menjaringkan gol di Liga Juara Juara Eropah hanya menjeling sinis.

15. Pada minit ke-72, sekali lagi Fauzi Roslan melakukan sepakan lencong yang bersahaja menjadikan kedudukan 2-2. Ia sememangnya gol bertaraf dunia dan jarang-jarang boleh dibeli dengan wang ringgit.

16. Johor DT mula bermain seperti tongong. Hantaran lambung demi hantaran lambung dilakukan dengan penuh harapan. Barisan tengahnya seperti anak ayam buta. Saya pasti seluruh rakyat Malaysia ketawa tidak kering gusi melihat keletah mereka.

17. Akhirnya Pahang tidak gemar lagi bersikap hipokrit. Mereka mendapatkan gol kemenangan hasil jaringan Surendran pada minit ke-83. Seluruh Malaysia meraikan gol itu dengan penuh kepuasan setelah sekian lama bersabar.

18. Perlawanan tamat dengan Pahang sombong mengutip 3 mata penuh dan mengekalkan reputasi mereka sebagai pasukan terbaik pernah wujud di negara ini. Johor DT pulang dengan tangan kosong namun tidak perlu khuatir kerana persembahan mereka malam tadi dibayar tinggi. Jalaluddin Jaafar yang berusia 38 tahun itu pun tidak pernah mengecapi nikmat bayaran sehebat mereka di dalam karier panjangnya.

19. Saya kurang pasti sama ada Safee yang ternama itu ada menyentuh bola atau hanya menunggang ke sana sini di dalam padang.

20. Saya harap Johor DT dapat belajar sesuatu dari permainan Pahang yang power itu. Walau bagaimanapun saya berpandangan jika penyokong bola sepak masih menyokong kebangangan, ia tidak akan menjadi bola sepak. Lebih-lebih lagi bangang yang datangnya dari Harimau Malaya.

21. Sekian ulasan saya dan saya sudahi dengan sebaris mutiara kata berbunyi; 'Pemain yang baik datangnya dari bola sepak yang baik, bukan dari tendangan percuma yang cantik semata-mata.'

22. Kenapa Pahang power sangat niiiiii? Kenapa? Kenapaaaa? Kah kah kah!

08 Januari 2013

Ombak Rokes


Di ruang tamu yang samar samar diterangi cahaya lampu dari dapur, kipas berpusing pada kelajuan satu. Ia malam yang baik. Tidak begitu panas dan tidak juga dingin seperti di Alaska. Jefri berbaring di atas lantai dengan kusyen yang dilipat dua dijadikan alas kepala. Tangan kirinya pula kukuh di atas dahi. Pandangan Jefri tertumpu ke arah peti televisyen yang sedang memainkan sebuah drama asmara yang agak berat. 

Aaron Aziz sedang berjalan-jalan di dalam lobi sebuah bangunan dengan wajah yang kusut seolah-olah menghadapi masalah yang cukup besar di dalam perniagaan abahnya. Tiba-tiba seorang perempuan bergaya eksekutif muda yang sentiasa mengejar masa terlanggar bahu Aaron Aziz yang tegap lalu terjatuh. Maka bertaburanlah segala fail, dokumen, pensel picit dan pembaris panjang di tangan perempuan itu yang diterajui Maya Karin. Aaron Aziz terkejut dan memandang Maya Karin di kakinya yang mula mendongakkan wajah. Ditabiri muzik latar yang sesuai, mereka saling merenung dan melutut mengutip barang-barang yang jatuh di atas lantai tadi. Pada satu ketika tangan mereka tidak sengaja bersentuhan lantas mereka menjadi malu-malu kucing.

"Menyampah betul aku. Senang betul orang kerja pejabat ni dapat makwe. Aku lempang juga karang tak bangun Aaron Aziz ni," gerutu Jefri seorang diri.

Samrin yang sedang membaca buku STPM memanjangkan leher menjenguk ke luar bilik, "biasa la tu, Jef. Drama melayu memang macam tu. Kita sebagai penonton kena banyak bersabar."

"Hotak dia! Dah dekat 30 tahun scene macam ni diorang main. Sejak Latif Ibrahim sampai ke Aaron Aziz."

Kedengaran Samrin hanya terkekeh-kekeh dari dalam bilik. Jefri menutup suis televisyen dengan ibu jari kakinya. Ruang tamu serta-merta hening.

"Ko bila nak tidur ni?" Tanya Jefri, "esok Isnin kerja berat ni brader."

"Kejap lagi la, Jef."

Jefri bersilat cuba mengelubungi diri dengan selimut corak kotak-kotak. Setelah berjaya membungkus diri, tubuhnya terus kaku. Dan malam mulai sepi. 


(bersambung)

06 Januari 2013

Pergilah ke Pahang

Ungkapan orang terdahulu ada mengatakan;

"Kalau nak makan, pergilah ke Kelantan. Kalau nak mati, pergi ke Melaka. Dan kalau nak tidur, pergilah ke Pahang."

Aku memegang teguh ungkapan lama ini justeru tibanya tahun 2013 ini juga bermakna dah setahun aku tidur di Pahang. Kah kah kah!